Berita SemasaSukan

Kos penganjuran F1 terlalu tinggi, kita tidak mampu buat masa ini – Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak bercadang untuk menganjurkan perlumbaan Formula Satu (F1) memandangkan kos penganjuran sukan itu yang terlalu tinggi.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, oleh kerana kerajaan lebih mengutamakan perbelanjaan yang lebih penting, tiada keperluan untuk meneruskan acara berprestij itu dalam masa terdekat.

“Bayangkan untuk kita naik taraf (Litar Antarabangsa Sepang) pun kita kena tunggu dana RM20 juta, jadi jangan tanya mengenai F1.

“Kalau mampu memang kita akan buat tapi memang kita tak mampu sekarang ni. Kita akan guna dana yang kita ada untuk keutamaan,” katanya selepas Majlis Ihya’ Ramadan Kementerian itu bersama Warga Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hari ini.

Kali terakhir Malaysia menganjurkan kejohanan F1 di Litar Sepang Antarabangsa (SIC) adalah pada 2017.

Penganjuran F1 yang bermula sejak 1999 telah mengukir pelbagai sejarah perlumbaan yang mana ia telah meletakkan nama Malaysia di peta dunia dalam sejarah penganjuran F1.

Dalam pada itu, Hannah juga memberitahu bahawa dana sebanyak RM20 juta telah diberikan kepada SIC untuk menaik taraf infrastruktur selepas beberapa tahun tidak mendapat sebarang bantuan daripada pihak kerajaan.

“Dana ini cukup penting buat mereka kerana ekonomi sudah dibuka semula dan mereka sudah ada acara antarabangsa yang akan masuk pada bulan April, jadi kita segerakan penambahbaikan.

“Kita percaya dengan adanya infrastruktur yang lengkap dan sempurna, SIC mampu menjadi tempat yang mampu menarik minat penganjur acara tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SIC, Azhan Shafriman Hanif turut mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada pihak KBS atas dana yang diberikan untuk membantu SIC menaik taraf fasiliti mereka.

“Bagi pihak SIC saya ingin mengucapkan terima kasih kepada KBS kerana tahun ini kami dapat bantuan dana untuk kami tingkatkan fasiliti kita di sini. Faktor utama yang akan meningkatkan prestasi kami kami dapat menyediakan fasiliti berkelas dunia.”

Pada masa sama, selain dana berjumlah RM20 juta untuk naik taraf infrastruktur, KBS turut mengumumkan dana tambahan berjumlah RM7 juta untuk program pembangunan pelumba di bawah seliaan SIC.

Show More

Related Articles

Back to top button