Berita Semasa

Isu raya awal, rakyat diminta tunggu pengumuman pihak berkuasa

PUTRAJAYA – Kerajaan akan cuba mengelakkan pengumuman ‘raya terkejut’ atau raya sehari lebih awal seperti yang berlaku pada tahun lalu berulang tahun ini.

Menteri Agama  Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, isu itu akan dibawa ke dalam perbincangan bersama Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan.

“Saya rasa kita kena tunggu. Kita akan bincang di peringkat Jawatankuasa Fatwa. Seboleh-bolehnya kita nak mengelakkan apa yang berlaku pada tahun lepas tidak berulang supaya tidak terkejut.

“Itu hasrat kita semua. Saya pun tidak mahu mengeluarkan kenyataan pra-matang sebaliknya menyerahkan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja (PMBRR).

“Kita tahu bahawa kuasa mengumumkan tarikh hari raya terletak di bawah PMBRR selaku pihak yang diamanahkan oleh Majlis Raja-Raja,” katanya tanpa memperincikan bila mesyuarat itu akan diadakan.

Dr. Mohd Na’im berkata demikian selepas menyaksikan memorandum persefahaman antara Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan) hari ini.

Baru-baru ini Pusat Astronomi Antarabangsa berpangkalan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) meramalkan 1 Syawal akan disambut pada 21 April di kebanyakan negara.

Di Malaysia, pengisytiharan tarikh 1 Syawal dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja sejurus menerima laporan hasil cerapan anak bulan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong yang mewakili Raja-Raja Melayu.

Ditanya persediaan yang perlu dilakukan umat Islam untuk berdepan dengan kemungkinan, Mohd Na’im meminta umat Islam agar bersabar kerana penentuan tarikh hari raya terletak kepada kuasa Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

“Ada satu kaedah dalam syarat yang menyebut ‘tindakan pemerintah yang bertanggungjawab itu didasarkan kepada kepentingan awam’. Jadi saya ingat itu kriteria yang akan digunakan nanti untuk memudahkan rakyat,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button