Berita Semasa

Kerajaan negeri kecewa, pandang serius

Insiden keracunan makanan di MRSM Gerik

IPOH – Kerajaan negeri Perak kecewa dengan insiden keracunan makanan yang dialami oleh 60 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Gerik, pada Ahad lepas.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak, A. Sivanesan berkata, dalam insiden itu, para pelajar Tingkatan Satu hingga Lima itu mengalami gejala sakit perut, cirit birit, muntah dan sakit kepala selepas makan juadah ayam masak merah ketika berbuka puasa.

Bagaimanapun, tiada kes dirujuk ke hospital, sebaliknya mereka hanya dirawat pasukan perubatan bergerak sebagai pesakit luar.

“Temu bual dengan pelajar mendapati masakan ayam telah berbau semasa dimakan.

“Semasa makan pun sudah ada bau, takkanlah penyelia tidak tahu, takkanlah tukang masak tidak tahu. Jadi, macam mana ini dihidang kepada anak-anak kita?” kata Sivanesan dalam satu sidang akhbar di pejabatnya, hari ini.

“Disyaki bahawa, ayam mentah telah rosak sebelum dimasak,” katanya sambil mempersoalkan mengapa ayam berkenaan terus dimasak dan dihidangkan sedangkan ia disyaki telah rosak dari awal.

Beliau kemudiannya menegaskan, kerajaan negeri memandang serius kejadian itu dan ia akan dibincangkan dalam Mesyuarat Exco hari ini untuk mengambil tindakan sewajarnya.

Di samping itu, katanya, dapur asrama sekolah berkenaan telah diarahkan tutup selama tiga hari dan 10 sampel klinikal telah diambil untuk dianalisa.

Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button