Politik

Kakitangan awam Melaka tidak dibenar bawa telefon dalam mesyuarat

MELAKA – Semua kakitangan dan juga agensi kerajaan negeri ini dilarang daripada membawa masuk telefon bimbit ke dalam mesyuarat bertaraf rahsia atau sulit berkuat kuasa semalam.

Arahan itu dikeluarkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusof dalam kenyataan di Facebooknya semalam.

Beliau berkata, larangan itu adalah bagi mesyuarat yang bertaraf sulit atau rahsia yang dipengerusikan oleh beliau sendiri bagi memastikan kerahsiaan maklumat kerajaan terjaga.

Larangan tersebut merupakan salah satu dari empat pendekatan baharu yang dilaksanakan Ahli Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara itu selepas dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka pada 31 Mac.

Ketetapan lain adalah setiap mesyuarat dimulakan dengan bacaan al-Fatihah pada jam 8 pagi, setiap hari bekerja iaitu dari Isnin hingga Jumaat.

Selain itu, agensi kerajaan perlu memperdengarkan nyanyian lagu Negaraku dan Melaka Maju Jaya pada setiap Isnin jam 10 pagi dan mereka diarahkan berdiri hormat ketika lagu tersebut dimainkan.

“Ketika mengadakan perjumpaan pertama saya bersama Pegawai-Pegawai Kanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka, semalam, saya telah menggariskan beberapa perkara termasuk pendekatan baharu yang wajar dipraktikkan bagi melancarkan lagi pentadbiran ini.

“Ketetapan baharu ini juga adalah selari dengan penghayatan nilai-nilai Islam dalam perkhidmatan awam dan memupuk rasa kecintaan kepada negara dan bangsa.

“Sehubungan itu, saya telah arahkan agar setiap Jabatan mahupun Agensi di bawah Kerajaan Negeri Melaka melaksanakan perkara-perkara berikut berkuat kuasa mulai hari ini, 4 April 2023,” katanya.

Di samping itu, beliau turut mengajak kakitangan kerajaan negeri terus bekerja bersamanya untuk membawa era baharu pentadbiran negeri Melaka yang lebih dinamik, maju dan makmur.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Facebook :Malaysia Tribune
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button