
Polis buru suspek samun 70 iphone, tetak pengawal
TELUK INTAN – Polis sedang memburu seorang lelaki yang melarikan kira-kira 70 unit telefon pintar iPhone bernilai hampir RM300,000 dalam kejadian samun di Kompleks Menara Condong di sini, awal pagi semalam.
Ketua Polis Hilir Perak ACP Ahmad Adnan Basri berkata, suspek yang bersenjatakan kapak, menetak seorang pengawal keselamatan di kompleks perniagaan itu sebelum mengikat dan menempatkannya di dalam tandas.
Katanya, suspek kemudian bertindak memecah masuk sebuah kedai telekomunikasi dan melarikan telefon bimbit di rak pameran.
“Hasil pemeriksaan di tempat kejadian berjaya menjumpai beberapa barang kes yang boleh membantu siasatan dan pihak polis masih meneruskan usaha untuk mengesan serta menangkap suspek,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Justeru, beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu atau suspek terlibat diminta menyalurkannya kepada Ibu Pejabat Polis Hilir Perak di talian 05-62992222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Sementara itu, pengawal keselamatan yang berusia lewat 60-an itu cedera di bahagian kepala dan telah dirawat sebagai pesakit luar serta berada dalam keadaan stabil.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune