Politik

Tanah Rezab Melayu di Kedah meningkat, mana ada menurun? – MB Kedah

BANGI – Menteri Besar, Datuk Seri Muhamamd Sanusi Md Nor menafikan berlaku penurunan keluasan Tanah Rezab Melayu di Kedah seperti diumumkan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, pada minggu lalu.

Beliau sebaliknya berkata, jumlah keluasan Tanah Rezab Melayu di negeri itu pada ketika ini meningkat berbanding jumlah asal yang diwartakan sebelum negara mencapai kemerdekaan.

Beliau menegaskan, keluasan asal Tanah Rezab Melayu di Kedah pada 1933 mengikut warta yang dikeluarkan Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM) adalah berjumlah 721,496.95 hektar.

“Bermula dari tahun 1933 hingga 19 Januari 2023, jumlah keluasan Tanah Rezab Melayu yang dicabut keluar adalah sebanyak 4,751.37 hektar, namun ia diganti balik dengan tanah seluas 5,160.03 hektar.

“Saya hairan kenapa keluasan tanah rizab Melayu di Perak dikatakan menurun’ Tanah Rizab Melayu di Semenanjung meningkat kecuali di Kedah, Kuala Lumpur dan Perak ’47 peratus keluasan Perak adalah Hutan Simpanan Kekal’.

“Ini menjadikan keluasan Tanah Rezab Melayu di Kedah pada Januari 2023 ialah seluas 721,905.61 hektar,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, berdasarkan jumlah terkini berkenaan, adalah didapati berlaku peningkatan jumlah Tanah Rezab Melayu berbanding keluasan asal yang dibuat sebelum ini.

“Angka ini menunjukkan berlaku peningkatan keluasan Tanah Rezab Melayu kira-kira 408 hektar pada 2023 berbanding keluasan asal pada 1933.

“Ini adalah keluasan yang direkodkan di Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Kedah dan ini angka yang menjadi pegangan Kerajaan Negeri Kedah pada hari ini,” katanya.

Nik Nazmi ketika Sidang Parlimen sebelum ini, memaklumkan berlaku penurunan Tanah Rezab Melayu di Kedah iaitu dari 721,888.93 hektar yang direkod pada 2021 kepada 716,537.28 hektar yang direkod pada 2022.

Beliau memaklumkan, jumlah keluasan asal Tanah Rezab Melayu di Semenanjung yang dinyatakannya adalah berdasarkan data Pejabat Tanah dan Galian (PTG) setiap negeri.

Show More

Related Articles

Back to top button