Berita Semasa

Mogok doktor Malaysia: Operasi fasiliti kesihatan di NS tidak terjejas

SEREMBAN – Semua fasiliti kesihatan di negeri ini beroperasi dengan lancar dan tidak terjejas dengan mogok doktor Malaysia yang dilaporkan akan bermula pada hari ini sehingga Rabu.

Menurut Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNNS) pihaknya tidak menerima sebarang laporan membabitkan aktiviti mogok yang dirancang oleh kumpulan doktor kontrak itu.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan, berkata, tiada kalangan kumpulan doktor kontrak berkenaan yang tidak hadir bertugas.

“Sehingga jam 4 petang ini, tiada laporan diterima membabitkan aktiviti mogok oleh kumpulan doktor kontrak, malah kesemua doktor berkenaan didapati hadir bertugas seperti biasa.

“Berikutan itu, operasi di hospital dan klinik kesihatan kerajaan berjalan seperti biasa dan lancar serta tidak berlaku sebarang kelewatan atau gangguan terhadap pesakit,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Untuk rekod, terdapat seramai 565 pegawai perubatan kontrak yang bertugas di Negeri Sembilan ketika ini.

Tambahnya lagi, JKNNS sudah diminta memantau keadaan berkenaan beberapa hari kerana kumpulan doktor terbabit dilaporkan merancang mengadakan mogok dalam beberapa hari atau sehingga Rabu ini.

“Saya berharap tiada mogok berlaku di Negeri Sembilan. Doktor harus bertanggungjawab untuk memberikan perkhidmatan rawatan kepada pesakit tanpa gangguan.

“Langkah mengadakan mogok akan menjejaskan kepentingan pesakit dan perkhidmatan kesihatan.

“Saya juga berharap Kerajaan Persekutuan dapat mencari jalan penyelesaian terhadap isu ini,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button