Berita Semasa

LIMA23 berjaya capai sasaran penyertaan

CYBERJAYA – Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA23) berjaya mencapai sasaran penyertaan sebanyak 600 syarikat pempamer.

Pengarah Eksekutif Alpine Integrated Solution Sdn Bhd yang juga penganjur bersama LIMA23, Muhammad Aqlan Pacleb berkata, keluasan dewan pameran juga telah bertambah sebanyak 28 peratus, sekali gus menunjukkan momentum positif acara dwitahunan itu setakat ini

Tambahnya lagi, kawasan keseluruhan ruang pameran LIMA23 telah penuh dan tiada lagi ruang untuk diisi.

“Sasaran kami untuk dapatkan 600 syarikat pempamer telah tercapai walaupun yang terlibat sebelum ini hanya 480 syarikat.

“Ini kerana dalam 600 syarikat itu, satu syarikat sahaja ada dua dan tiga syarikat lagi di bawahnya,” katanya sewaktu muncul dalam program Assalamualaikum terbitan TV Al Hijrah, pagi tadi.

Untuk rekod, LIMA23 akan berlangsung pada 23 hingga 27 Mei depan.

Dalam pada itu, Muhammad Aqlan berkata, menurut Kementerian Pengangkutan, LIMA23 telah mempunyai kira-kira 40 peratus penglibatan komersial daripada keseluruhan pameran.

Sementara itu, Panglima Operasi Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Lt Jen Datuk Mohd Shahada Ismail berkata, menerusi LIMA23 TUDM akan menjemput 45 Panglima Tentera Udara bagi membincangkan pelbagai isu termasuk keselamatan serantau menerusi Airchief Conference.


Selain itu, Mohd Shahada berkata pameran kali ke-16 itu juga akan diserikan lagi dengan penampilan empat pasukan aerobatik antarabangsa iaitu pasukan Jupiter dari Angkatan Tentera Udara Indonesia, August 1st (Tentera Udara Republik Rakyat China), Russian Knights (Tentera Udara Rusia) dan Black Eagles (Tentera Udara Republik Korea Selatan).

Show More

Related Articles

Back to top button