Berita Semasa

KWSP umum mekanisme pinjaman gunakan Akaun 2

CYBERJAYA – Pencarum Kumpulan Simpanan Pekerja (KWSP) yang mempunyai tabungan minimum RM3,000 dalam Akuan 2 layak membuat pinjaman bank mulai 7 April ini.

KWSP dalam satu kenyataan berkata, kemudahan tersebut merupakan Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2) seperti yang diumumkan Kementerian Kewangan baru-baru ini, dengan tujuan membantu ahli KWSP mendapatkan pembiayaan peribadi daripada institusi perbankan.

Kemudahan tersebut dibuka kepada pencarum yang berusia 40 hingga 50 tahun, dan antara institusi perbankan yang menyediakan kemudahan itu adalah Bank Simpanan Nasional (BSN) dan MBSB Bank.

“Simpanan Akaun 2 hanya boleh digunakan untuk membayar pembiayaan peribadi ini menerusi permohonan awal Pengeluaran Bersyarat Umur 50 Tahun atau 55 Tahun, berdasarkan pengeluaran sedia ada yang dibenarkan di bawah Akta KWSP 1991 (Akta).

“Bagaimanapun, pengeluaran ini adalah bersyarat yang mana pembayaran akan hanya dibuat kepada institusi perbankan apabila ahli telah mencapai umur 50 hingga 55 tahun, seperti yang termaktub dalam akta,” kata kenyataan itu, hari ini.

FSA2 ini akan dilaksanakan dalam dua fasa, yang mana untuk fasa satu yang akan bermula pada 7 April 2023 dan kekal dibuka selama setahun, ahli yang layak berumur 40 tahun ke atas boleh memohon, tertakluk kepada kesediaan bank yang mengambil bahagian.

Tarikh mula untuk Fasa 2 bagi ahli di bawah umur 40 tahun akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Di bawah kemudahan ini, semua ahli KWSP warganegara Malaysia di bawah umur 55 tahun boleh membuat notis awal untuk Pengeluaran Umur 50 Tahun atau 55 Tahun, dengan syarat mereka mempunyai jumlah minimum RM3,000 dalam Akaun 2 KWSP mereka.

“Jumlah pembiayaan maksimum telah ditetapkan pada RM50,000, tertakluk kepada baki Akaun 2 KWSP, dengan tempoh pembayaran balik sehingga 10 tahun,” kata kenyataan itu lagi.

Kadar faedah (konvensional) atau kadar keuntungan (Islamik) yang akan dikenakan oleh bank-bank yang mengambil bahagian di bawah program ini adalah antara 4 peratus hingga 5 peratus, lebih rendah dan lebih berpatutan daripada kadar pasaran semasa iaitu 8 peratus hingga 15 peratus.

Show More

Related Articles

Back to top button