Jenayah & Mahkamah

Suspek cuba pukul imam diarah jalani pemeriksaan psikiatri

KUANTAN – Mahkamah Majistret Kuantan hari ini memerintahkan lelaki yang cuba memukul imam yang sedang memimpin solat subuh di sebuah masjid di sini, dirujuk ke Hospital Permai, Johor bagi pemeriksaan psikiatri.

Perintah tersebut dikeluarkan oleh Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman terhadap bekas tentera, Ahmad Paijan Abd Rashid, 38, yang dihadapkan ke mahkamah, hari ini.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja menyebabkan gangguan kepada solat subuh yang sedang dijalankan di ruang solat utama Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah 1, di sini, pada kira-kira pukul 6.30 pagi, Ahad lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 296 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, tertuduh yang diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Mohd Azlan Mohd Arish@Arshad tidak membuat sebarang pengakuan, namun hanya berkata dia terdengar suara.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ezuain Farhana Ahmad dibantu Anuarul Hakim Abdul Muen memohon tertuduh menjalani pemeriksaan di hospital itu mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

Mahkamah menetapkan 28 April ini untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, tular satu rakaman video menunjukkan seorang lelaki bertindak menolak jemaah sebelum mahu memukul imam yang sedang memimpin solat subuh di masjid itu, namun sempat dielak mangsa.

Show More

Related Articles

Back to top button