Berita Semasa

MB Selangor umum bantuan khas Aidilfitri kepada penjawat awam negeri

SHAH ALAM – Anggota perkhidmatan kerajaan Selangor akan menerima bantuan khas kewangan sempena Hari Raya Aidilfitri sebanyak satu bulan gaji atau minimum RM1,000.

Bantuan tersebut diumumkan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dalam ucapannya pada Majlis Rapat Rahmah Ramadan dan Majlis Berbuka Puasa bersama Warga Penjawat Awam Negeri Selangor, di sini hari ini

Beliau berkata, bantuan tersebut meliputi penjawat awam di bawah pentadbiran Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor, penjawat awam persekutuan di bawah pentadbiran SUK Selangor, Ahli Majlis serta guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).

“Selain itu, bagi pemimpin masyarakat seperti Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Setiausaha MPKK, Pegawai Perhubungan Kampung, Ketua Komuniti, Penyelia Pusat Wanita Berdaya Selangor (WBS) dan Penggerak Belia Selangor (PeBS), akan menerima sebulan elaun,” katanya.

Dalam ucapannya, Amirudin turut mengumumkan bantuan khas sebanyak RM500 bagi penggerak masjid seperti nazir, imam rawatib, siak, bilal dan guru rakyat.

“Sebagai tanda penghargaan kepada jasa dan komitmen penjawat awam kerajaan persekutuan yang berkhidmat di negeri ini seperti polis, tentera, guru dan jururawat yang berpendapatan bawah RM3,000 sebulan (gaji pokok), turut akan menerima sebanyak RM200 secara sekali beri,” katanya.

Beliau menambah, bantuan khas kewangan itu dijangka dapat dibuat kepada semua anggota yang berkelayakan, selewat-lewatnya pada 21 April depan.

“Saya harap ia beri kelegaan dan menambah semangat kita semua, selain teruskan momentum sedia ada,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button