Berita Semasa

KUSKOP lancar skim khas usahawan Sabah 6 Mei nanti

PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan melancarkan satu skim khas buat usahawan Sabah pada 6 Mei nanti.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, skim yang akan dilaksanakan oleh SME Corp tersebut merupakan hasil sesi libat urus yang diadakan bersama semua pemegang taruh yang terlibat dalam rantaian keusahawanan di negeri tersebut.

“Kita nampak ada keperluan untuk perkenalkan skim-skim khas bagi (menyokong) para usahawan di Sabah Sarawak.

“Ini kerana mereka berhadapan dengan cabaran yang unik dan  berbeza dari (usahawan) di Semenanjung, sebagai contoh dari logistik, hebahan maklumat, infrastruktur, kemudahan dan capaian internet,” kata Ewon, hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa KUSKOP, di sini hari ini.

Dalam majlis tersebut, Ewon turut menyampaikan sumbangan wang zakat agensi di bawah KUSKOP bernilai RM10,000 kepada Pertubuhan Warisan Suci dan duit raya kepada 20 anak yatim.

Beliau seterusnya berkata, pewujudan skim sedemikian dapat juga menepis persepsi bahawa usahawan di Sabah dan Sarawak ‘dianak tirikan’.

“Semua ini (cabaran unik) memerlukan bantuan khas (kerajaan) supaya tidak timbul lagi persepsi bahawa Kerajaan Persekutuan tidak memberi perkhidmatan sewajarnya kepada mereka,” kata Ewon lagi.

Sebelum ini, KUSKOP telah melancarkan Skim Pembiayaan Usahawan Tamu (SPUT) bagi Sabah dan Sarawak yang dilaksanakan di bawah agensi Tekun Nasional.

Di bawah skim tersebut, usahawan kecil yang berniaga di tamu di seluruh negeri tersebut boleh memohon pembiayaan sehingga RM5,000.

Show More

Related Articles

Back to top button