Kes SRC: Mahkamah Persekutuan tolak permohonan Najib semak rayuan akhir
PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan menolak permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mendapatkan kebenaran bagi menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan bersalah terhadapnya dalam kes penyelewengan dana SRC International sebanyak RM42 juta.
Dengan itu, Najib Razak akan menjalani baki tempoh penjara 12 tahun yang dijatuhkan ke atasnya oleh Mahkamah Tinggi pada Julai 2020 kecuali beliau mendapatkan pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong.
Keputusan itu dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Vernon Ong Lam Kiat, yang turut disokong Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan serta Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais manakala, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abdul Rahman Sebli membuat keputusan untuk menentang.
Dalam permohonon Najib, beliau memohon untuk diberi kebenaran menyemak keputusan rayuan akhirnya oleh panel yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tengku Tuan Maimun Tuan Mat pada pada 23 Ogos tahun lalu dan jika dibenarkan, beliau memohon supaya dibebaskan atau rayuan akhirnya didengar panel lain.
Terdahulu, pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi (kini hakim Mahkamah Rayuan) Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, mendapati Najib bersalah seterusnya mengenakan hukuman penjara 12 tahun serta denda berjumlah RM210 juta.
Keputusan tersebut dikekalkan Mahkamah Rayuan pada 8 Disember 2021 dan panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun, pada 23 Ogos tahun lalu.