Berita Semasa

KP Imigresen beri amaran, tindakan tegas menanti pegawai langgar arahan

PUTRAJAYA – Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh, menegaskan tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan  tegas kepada pegawai agensi itu yang terlibat dalam sindiket penyeludupan pendatang haram.

Menurut beliau, pihaknya akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa untuk menyiasat pegawai agensinya yang disyaki terlibat dalam aktiviti haram itu.

“Tidak adil saya menuding jari kepada semua pegawai Imigresen sedangkan hanya segelintir sahaja mereka yang ‘nakal’.

“Jika berlaku pelanggaran arahan, kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas hingga di peringkat tertinggi,” tegasnya dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ruslin berkata, pihaknya juga akan menyerahkan siasatan dijalankan sepenuhnya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut.

“Ingin saya tegaskan bahawa kita tidak akan berkompromi dalam isu ini dan akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkaitan.

“Kita akan mengambil tindakan tegas termasuk buang kerja sekiranya didapati bersalah selepas menjalani proses perundangan,” katanya lagi.

Tambahnya, sebagai salah satu agensi penguat kuasa yang berperanan menjaga sempadan, beliau akan sentiasa menekankan isu integriti dalam kalangan pegawainya.

“Tugas menjaga sempadan negara adalah amanah rakyat kepada kami. Justeru itu, saya tekankan kepada setiap pegawai supaya patuh pada peraturan,” katanya lagi.

Sebelum ini, media melaporkan, sembilan individu, termasuk lima pegawai penguat kuasa Jabatan Imigresen (JIM) direman bagi membantu siasatan berhubung sindiket penyuludupan keluar pendatang asing tanpa izin (PATI) di Tawau, Sabah.

Lima pegawai Imigresen berusia 30 hingga 41 tahun itu terdiri tiga wanita dan dua lelaki, masing-masing bertugas di Lapangan Terbang Tawau (LTT).

Isnin lalu pula, seorang lagi pegawai JIM ditahan SPRM selepas disyaki berkomplot dengan sindiket penyeludupan pendatang haram Filipina ke Semenanjung.

Kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Show More

Related Articles

Back to top button