Berita Semasa

KKM, JPA bincang serap petugas perubatan kontrak ke perjawatan tetap tanpa pencen

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) sedang berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi menyerapkan petugas perubatan berstatus kontrak ke dalam sistem perjawatan tetap tanpa diberikan pencen.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, langkah ini adalah bagi menangani bebanan tugas yang melebihi kapasiti sumber sedia ada serta untuk mengurangkan beban skim berpencen ditanggung negara ketika ini yang mencecah RM29.1 bilion pada 2021.

“Kita sedar beban kerajaan berdepan dengan skim berpencen iaitu pada 2011 nilainya adalah sebanyak RM3.1 bilion dan kemudiannya meningkat kepada RM29.1 bilion pada 2021, ini merupakan beban yang sangat tinggi dan mungkin akan terus meningkat.

“Jadi kita memikirkan jalan keluarnya adalah dengan mengusulkan untuk mengambil pekerja kontrak secara tetap tetapi tanpa pencen, namun mereka ini boleh mendapat manfaat yang sama seperti pekerja tetap yang lain antaranya boleh membuat pinjaman perumahan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negara, Datuk Jefridin Atan yang ingin tahu sama ada KKM mempertimbangkan untuk menambah jawatan doktor kontrak bagi mengatasi masalah bebanan kerja petugas kesihatan.

Show More

Related Articles

Back to top button