Berita Semasa

Kerajaan Arab Saudi sumbang 17,000 al-Quran, 35 tan kurma, 15,000 hidangan nasi mandy

PUTRAJAYA – Kerajaan Malaysia menerima 17,000 naskah al-Quran dan 35 tan kurma yang disumbangkan oleh Kerajaan Arab Saudi melalui program Hadiah Penjaga Dua Tanah Haram Raja Salman Abdul Azil Al-Saud.

Sumbangan sempena bulan Ramadan itu diserahkan oleh Timbalan Duta Besar Arab Saudi di Kuala Lumpur, Dr Saleh Ali Ismail Bedaiwi kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar di Kompleks Islam Putrajaya di sini

Pada majlis yang menjadi tradisi negara itu sejak 20 tahun lalu, Raja Salman dan anakanda Putera Mahkota Mohammad Salman turut menaja hidangan nasi mandy ayam untuk majlis berbuka puasa bagi 15,000 orang.

Menurut Dr. Mohd, Na’im, Malaysia amat bertuah kerana sentiasa terpilih oleh Kerajaan Arab Saudi dalam program sumbangan itu.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ingin merakamkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada Penjaga Dua Tanah Haram Raja Salman bin Abdul Aziz Al-Saud dan YAM Putera Mahkota Baginda, Putera Mohammad Bin Salman Bin Abdul Aziz Al Saud atas sumbangan yang amat bermakna ini semoga hubungan akrab antara kedua-dua negara Malaysia dan Arab Saudi akan terus kukuh dan bertambah erat.

“Saya sentiasa mendoakan supaya hubungan akrab antara kedua-dua negara, Malaysia dan Arab Saudi, akan terus diperkukuh silaturahim seperti yang dikehendaki oleh agama,” katanya kepada pemberita selepas majlis itu.

pengagihan sumbangan kerajaan Arab Saudi itu akan diuruskan oleh pelbagai pihak yang diselaras oleh Pejabat Atase Agama Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur.

Turut hadir pada majlis itu ialah Setiausaha Bahagian Hal Ehwal Pejabat Kementerian Hal Ehwal Islam Arab Saudi di Luar Negara merangkap Pemangku Atase Agama Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur, Syaikh Abdul Wahab Abdullah Al-Qahtan.

Show More

Related Articles

Back to top button