Berita Semasa

Jumlah banduan di penjara melebihi kapasiti – Saifuddin Nasution

KUALA LUMPUR – Jumlah banduan di negara ini sudah melebihi kapasiti penjara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, setakat ini terdapat seramai 78,236 banduan yang sedang menjalani hukuman dan ditahan di seluruh institusi penjara.

“Jumlah yang dinyatakan tersebut iaitu 78,236 orang, sebenarnya telah melebihi daripada jumlah kapasiti sebenar yang sepatutnya iaitu 65,762 memberikan jumlah perbezaan sebanyak 6,675 (10.15 peratus) lebihan orang banduan.

“Jumlah tersebut meliputi 39 buah fasiliti penjara dan tiga buah fasiliti melibatkan Sekolah Henry Gurney,” katanya dalam jawapan bertulis pada persidangan Dewan Rakyat, semalam.

Katanya, angka tersebut direkodkan sehingga 2 Februari lalu oleh Jabatan Penjara Malaysia.

Saifuddin Nasution berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) yang ingin kerajaan memperincikan jumlah banduan dan perincian fasiliti penjara serta apakah nisbah warden penjara kepada bilangan banduan.

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution berkata, nisbah pegawai penjara dengan banduan di setiap penjara adalah pada nisbah 1 pegawai penjara kepada 3 hingga 5 banduan.

Kadar ini, kata Saifuddin Nasution, berubah berasaskan kepada kategori keselamatan penjara, kategori banduan serta keperluan dalam bentuk melaksanakan pelbagai program latihan dan pemulihan banduan.

“Jabatan Penjara Malaysia dari masa ke semasa menjalankan kajian mengenai kesesuaian nisbah pegawai penjara dengan banduan bagi memastikan keperluan dan penempatan pegawai adalah selaras dengan tahap keselamatan penjara, kategori banduan sesebuah penjara dan keperluan pemulihan,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button