Berita Semasa

18 kematian direkodkan akibat makan ikan buntal

KUALA LUMPUR – Sebanyak 18 kematian direkodkan akibat keracunan selepas memakan ikan buntal sejak 1985 hingga Mac tahun ini jelas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurut beliau, penjualan ikan buntal adalah dilarang di negara ini mengikut akta yang sudah ditetapkan, Akta Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia 1972.

Katanya, Seksyen 13 Akta Makanan 1983 turut menerangkan dengan jelas mengenai larangan penjualan makanan yang mengandungi atau di atasnya bahan beracun, berbahaya atau sebaliknya memudaratkan kesihatan.

“Oleh itu, ikan buntal yang mengandungi toksin berbahaya tidak dibenarkan dijual,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambahnya, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (FSQD), Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengambil beberapa langkah bagi meningkatkan kesedaran orang awam terhadap bahayanya racun ikan buntal.

“Malah, tinjauan yang dijalankan oleh FSQD KKM pada 2019 menunjukkan 86 peratus daripada responden yang terdiri daripada orang awam, penjual ikan, nelayan dan tukang masak mempunyai pengetahuan yang mencukupi mengenai bahaya pengambilan ikan buntal,” katanya lagi.

Terdahulu, media melaporkan, seorang wanita maut manakala suaminya dimasukkan ke Unit Rawapan Rapi (ICU) Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom (HEBHK) selepas makan hidangan ikan buntal.

Ikan buntal, iaitu sejenis ikan yang juga disebut ‘ikan fugu’ tersebut diperoleh daripada nelayan di Endau sebelum diambil oleh pemborong untuk diproses di Batu Pahat.

Kebiasaanya, hidangan ikan buntal hanya dihidangkan secara selamat dan dimasak oleh chef yang mempunyai kepakaran membuang racun jenis tetrodotoksin yang tersimpan di dalam hati, kelenjar kelamin, kulit dan usus ikan buntal.

Show More

Related Articles

Back to top button