Berita Semasa

Ayob Khan dilantik Pengarah JSJ yang baharu

KUALA LUMPUR – Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman yang baharu berkuat kuasa 16 April ini.

Pelantikan tersebut dimaklumkan Setiausaha Polis Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin dalam satu kenyataan semalam.

“Pengarah JSJN Bukit Aman ditukarkan sebagai Pengarah JSJ Bukit Aman yang baharu, berkuat kuasa 16 April ini,” katanya dalam kenyataan itu.

Pelantikan Ayob Khan sebagai Pengarah JSJ Bukit Aman sekali gus, akan menggantikan penyandang jawatan itu ketika ini, iaitu Datuk Seri Abd Jalil Hassan yang akan bersara wajib pada tarikh berkenaan.

Untuk rekod, Ayob Khan yang sebelum ini pernah menjadi Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas, Cawangan Khas, Bukit Aman, dilantik sebagai Ketua Polis Johor pada 6 Mac 2020.

Beliau kemudiannya kembali ke Bukit Aman selepas dilantik sebagai Pengarah JSJN bermula 25 Januari 2022 sehingga kini.

Show More

Related Articles

Back to top button