Bisnes & Ekonomi

Minyak Afiat terus dipercayai, jangan tertipu dengan produk hampir sama

CYBERJAYA – Minyak Afiat adalah sejenis minyak sapu yang tidak asing bagi rakyat negara ini. Boleh dikatakan hampir setiap keluarga menyimpan produk ini untuk saat-saat kecemasan seperti sakit perut, terseliuh, sakit sendi, pening kepala dan sebagainya.

Dalam kalangan wanita bersalin, inilah juga minyak yang menjadi peneman dan kepercayaan para bidan serta bomoh sejak zaman berzaman.

Selepas hampir 100 tahun menguasai pasaran tanpa banyak pesaing sehingga ke seluruh pelosok kampung, minyak panas keluaran Syarikat Minyak Afiat Sdn Bhd kini masih berdiri teguh sebagai jenama produk berasaskan kesihatan dan penjagaan diri.

Bermula secara kecil-kecilan pada 1924, produk yang diasaskan oleh Allahyarham Haji Panjang Kamarudin itu telah dimajukan secara komersial oleh Allahyarham Tuan Haji Khalid Uda Ismail.

Namun kepercayaan berlandaskan kualiti produk yang ditanam selama hampir seabad lamanya tidak mengecualikan jenama ini terlepas daripada ‘ncaman ‘cetak rompak’ .

Pengurus Besar Afiat, Abdul Raof Ahmad Zakaria berkata, dalam mengaut keuntungan tanpa pelaburan, ada sahaja pihak tidak bertanggungjawab yang muncul untuk mengambil kesempatan dalam perniagaan.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya telah mengesan dua syarikat yang menggunakan jenama, pelabelan dan identiti pembungkusan yang mirip dengan produk Afiat.

” Buat pengetahuan semua, kami tidak ada mengeluarkan produk baharu sekarang ini.

“Untuk lebih kepastian mengenai produk kami, pelanggan boleh memeriksaa di laman www.afiat.com.my untuk mendapatkan lebih kepastian,” katanya.

Beliau menegaskan produk yang mirip produk Afiat dengan menggunakan labeling serta kriteria lain yang hampir sama itu bukan produk Afiat yang sebenar.

“Buat masa sekarang, kami sekadar boleh memberi kesedaran kepada pengguna supaya tidak terkeliru antara produk Afiat dengan produk perusahaan lain,” katanya.

“Kita dah menjangkau 100 tahun, kita tak nak disebabkan produk produk yang mirip kepada kita ini, menggunakan jenama seakan kita akan merosakkan reputasi Afiat yang kita bina selama seratus tahun di pasaran.”

Beliau menambah, produk Afiat mempunyai identiti tersendiri antaranya label keselamatan hologram FarmaTag TM pada produk berbotol; tulisan ‘Afiat’ beserta logo berbentuk lakaran imej Allahyarham Haji Panjang Kamarudin selaku pengasasnya beserta alat muzik gambus dan hanya beralamat di Kuala Kangsar, Perak sahaja.

“Alhamdulillah, kami (jualan di pasaran) masih lagi kekal bertahan, cuma kami tidak mahu disebabkan isu harta intelek ini yang mengelirukan pengguna, menyebabkan mereka silap terbeli produk lain yang disangka keluaran Afiat kerana kami juga yang akan terkena tempiasnya nanti,” katanya.

Beliau berkata, manipulasi persepsi sedemikian sekali gus dianggap sebagai cubaan memperdaya pengguna setia, selain melanggar cap dagang Afiat yang dahulunya dikenali sebagai Perusahaan Minyak Afiat.

“Kesannya bila orang datang ke kilang kita untuk menukar produk , kata ada sedikit reject ke apa, effect pada masalah kesihatan apa semua, minta ganti rugi pun ada. Sekali lagi kami nak tegaskan kat sini supaya pengguna berhati-hati dan pastikan produk itu alamatnya di Kuala Kangsar, ada logo Afiat, ada cap gambus dan menggunakan alamat di Kuala Kangsar, dan kita akan bertanggungjawab atas produk kita sahaja.” Abdul Raof.

“Bersainglah secara sihat, bukan dengan memperdaya atau memanipulasi persepsi pengguna dengan menumpang populariti jenama kami yang berusia hampir 100 tahun. Kami juga perlu jaga kualiti produk serta perlu bertanggungjawab ke atas impak atau kesan yang dirasai pengguna,” katanya dalam satu sidang media yang diadakan bertempat di Syarikat Afiat Sdn Bhd, Kuala Kangsar baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Urusan Afiat, Ahmad Zakaria Khalid.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Facebook :Malaysia Tribune
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button