Jenayah & Mahkamah

Farid Kamil dakwa ada orang ketiga campuri urusan rumah tangganya

SHAH ALAM – Pelakon terkenal, Farid Kamil mendakwa ada pihak ketiga yang mencampuri urusan rumah tangganya sekali gus, mendorong isterinya, Diana Danielle untuk memfailkan cerai.

Ditanya siapakah pihak ketiga itu, Farid berkata, hanya Diana yang mengetahui apa yang dikatakan itu.

Tambah Farid, atau nama sebenarnya, Farid Kamil Zahari, beliau sudah mencuba sedaya upaya dan masih mahu menyelamatkan rumah tangganya.

“Itu awak boleh tanya Diana sebab saya kalau boleh, seboleh-bolehnya saya mahu tegakkan undang-undang Islam.

“Saya mahu tegakkan hak sebagai seorang suami yang rumah tangganya diganggu yang mana saya rasa tidak adil sebagai seorang suami diperlakukan sebegitu dan apabila kita menuntut jawapan perpisahan yang dipinta.

“Saya suka dah cuba sedaya upaya saya untuk memujuk Diana atas kesalahan yang tidak munasabah tapi hari ini saya dapati kekuatan beliau seperti yang saya maklum ada pihak ketiga yang menyokong beliau daripada belakang,” katanya ketika ditemui pemberita di Mahkamah Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Farid juga turut mengatakan akan menyerahkan kepada mahkamah selepas ditanya adakah dia akan memfailkan nusyuz terhadap Diana.

“Nusyuz Itu mahkamah yang akan tentukan. Saya berserah kepada Allah dan benda ini melibatkan hukum hakam Islam dan ya saya mahu selamatkan rumah tangga saya.

“Saya sangat sayangkan keluarga saya. Saya tidak pernah lagi diuji sebegini rupa. Saya baru pasti baru-baru ni dan saya sudah aware (mengetahui) dari tahun lepas lagi dan masalah ‘terkantoi’ itu baru-baru ini (mengenai orang ketiga).

Dalam pada itu, Farid juga menegaskan, dia masih menyayangi isteri dan anak-anaknya, selain mendakwa tidak dibenarkan berjumpa dengan mereka selama 23 hari.

“Saya harus menyelamatkan isteri saya daripada diperlakukan sebegitu. Saya sayangkan isteri saya dan tanpa isteri saya, saya tidak akan dapat jumpa anak-anak saya.

“Saya tidak dibenarkan jumpa anak selama 23 hari, telefon pun tidak tidak boleh. Saya cuba walaupun saya tahu itu kesalahan orang luar tapi saya cuba selamatkan,” katanya lagi.

Berita kemelut rumah tangga pasangan ini timbul selepas Diana  dilaporkan memfailkan permohonan cerai terhadap Farid pada awal bulan ini atas alasan tiada persefahaman dan berlaku shiqaq (perbalahan berpanjangan).

Terdahulu, Diana memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari di Shah Alam, pada 20 Mac lalu. Bagaimanapun, Farid enggan melafazkan cerai terhadap Diana.

Farid dan Diana mendiri rumah tangga pada 3 November 2012. Pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8.

Show More

Related Articles

Back to top button