Berita Semasa

Charles Santiago dilantik Pengerusi SPAN

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Anthony Santiago yang juga aktivis hak asasi manusia diumumkan sebagai Pengerusi baharu Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), berkuat kuasa 20 Mac lalu.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, dengan kepemimpinan baharu itu, beliau berharap ia dapat membantu mencapai objektif agenda Transformasi Sektor Air 2040 (WST 2040).

“Saya percaya barisan ini akan mampu memacu SPAN untuk terus kekal menjadi sebuah organisasi yang progresif, proaktif dan disegani dalam pengawal seliaan perkhidmatan air di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan berdasarkan pengalaman mereka dalam bidang kepakaran masing-masing.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada barisan anggota suruhanjaya terdahulu yang sudah menjalankan tugas mereka dengan berdedikasi,” katanya melalui kenyataan, di sini.

Pelantikan Charles itu melengkapkan barisan kepemimpinan anggota suruhanjaya baharu SPAN bagi penggal 2023 hingga 2025.

Pada masa sama, Nik Nazmi berkata, SPAN melalui warga kerjanya serta anggota suruhanjaya perlu bergerak secara sinergi dalam memastikan perkhidmatan air dapat dilestarikan melalui perancangan strategik, pengawalseliaan yang rapi serta penguatkuasaan terhadap Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655).

Beliau brkata, ia penting dalam mendepani cabaran yang lebih getir terhadap perkhidmatan air pada masa hadapan.

Show More

Related Articles

Back to top button