Berita Semasa

Bazar Ramadan Rahmah inisiatif terbaharu kurangkan kos sara hidup

PUTRAJAYA – Bazar Ramadan Rahmah (BRR) merupakan inisiatif terbaharu Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam mengurangkan kos sara hidup rakyat dengan menyediakan pilihan hidangan untuk berbuka puasa pada harga murah dan berpatutan.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, sehingga kini, sebanyak 38 lokasi BRR di buka di seluruh negara yang turut menjual makanan pada harga di bawah RM5.

“Saya telah melihat hampir dua bulan inisiatif Menu Rahmah kita pelopori, semakin ramai yang menyertainya dan sampai ke hari ini, kita wujudkan BRR yang mendapat sambutan sangat menggalakkan.

“Namun begitu jangan salah anggap KPDN kononnya memandang sepi pada mana-mana premis tiada mengadakan Menu Rahmah,” kata Salahuddin selepas melancarkan BRR peringkat kebangsaan di Presint 14, di sini hari ini.

Inisiatif BRR merupakan hasil libat urus KPDN bersama peniaga untuk menawarkan harga Menu Rahmah sekaligus mengurangkan kos sara hidup rakyat.

“Pertama sekali mesti ada libat urus, keduanya adalah persetujuan dari pemilik gerai untuk mereka menawarkan Menu Rahmah, maknanya mereka bersedia dengan inisiatif ini.

“Kalau kita lihat di bazar ini, lebih kurang 148 gerai dan 48 peratus gerai menawarkan Menu Rahmah dengan harga minima RM5 dan ke bawah,” jelas Salahuddin lagi.

Untuk dikategorikan sebagai BRR, bazar tersebut perlu mempunyai tidak kurang daripada 30 peratus penjual yang menyediakan Menu Rahmah.

Selain itu, lokasi yang menjadi tempat tumpuan rakyat dan menggalakkan kadar sewa RAHMAH serta berpatutan kepada peniaga berdasarkan lokaliti.

Antara BRR lain yang beroperasi termausk Bazar Ramadan Food Truck Rahmah di Lorong Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur; Bazar Ramadan Bayan Baru, Pulau Pinang; Bazar Ramadan People Walk Ipoh, Perak; dan Bazar Ramadan Binjai Rendah, di Marang, Terengganu.

Show More

Related Articles

Back to top button