Cadangan wujudkan MRSM berbayar tidak wajar dipolitikkan – DPIM
CYBERJAYA – Cadangan mewujudkan mewujudkan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) berbayar untuk golongan T20 tidak wajar dipolitikkan.
Menurut Presiden Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan, cadangan itu perlu dikaji sewajarnya daripada pelbagai sudut tanpa unsur prejudis.
Tambahnya, DPIM menoyokong cadangan itu sambil menambah, jika ia direalisasikan, pihaknya mencadangkan supaya MRSM berbayar tidak diberikan sebarang keistimewaan atau kelebihan berbanding MRSM biasa.
“Keadaan kampus, persekitaran dan suasana pembelajaran harus sama. Namun, biasiswa kepada pelajar harus diberikan kepada anak-anak B40 di MRSM sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Shahir, anak-anak MRSM terbukti berjaya mengubah hidup keluarga mereka daripada golongan B40 kepada M40 atau T20.
Tambahnya, disebabkan itu golongan yang pernah menjadi alumni MRSM sudah tentu mahukan anak-anak menerima pendidikan berkualiti tinggi yang sama seperti mereka.
“Tanpa mengambil hak anak-anak B40, cadangan mewujudkan MRSM berbayar dilihat salah satu cara untuk alumni MRSM yang kini dalam golongan M40 dan T20 untuk menghantar anak-anak mereka menerima pendidikan MRSM,” katanya.
Tambah beliau, matlamat asal MRSM adalah untuk membantu anak-anak golongan berpendapatan rendah yang kurang mampu sehingga lahirnya generasi profesional.
Sebelum ini, Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, cadangan mewujudkan MRSM berbayar dizahirkan oleh kehendak alumni institusi pendidikan itu sendiri, yang mahukan model pengajian yang sama diberikan kepada anak-anak mereka.
Katanya, cadangan mewujudkan MRSM berbayar bertujuan bagi menyantuni kehendak kumpulan yang bersedia membayar dan mahukan model pengajian yang sama.
Ketika ini, MRSM sudah melahirkan hampir 200,000 alumni yang berjaya dan kebanyakannya kini berada dalam kelompok M40 dan T20.