Berita Semasa

Remaja maut digilis bas

DUNGUN – Seorang remaja maut dalam satu kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu sebuah MPV, bas dan motosikal mangsa jenis Yamaha Y15ZR di Kilometer 337.9, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2), dekat Hentian Rehat Dan Rawat (R&R) Paka, pagi tadi.

Mangsa Muhammad Irfan Abdullah, 18, maut di lokasi kejadian dipercayai terjatuh dari motosikal sebelum digilis bas sehingga mengakibatkan kecederaan parah di bahagian badan dan kepala dalam kemalangan kira-kira jam 1.10 pagi itu.

Menurut Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, mangsa berasal dari Kampung Santong Paka.

“Mangsa menunggang motosikal bersendirian dari arah Kuala Terengganu ke Kuantan dan sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal mangsa tiba-tiba hilang kawalan dan melanggar bahagian belakang MPV yang juga dari arah sama.

“Berikutan perlanggaran itu, mangsa dikatakan terjatuh ke atas lebuh raya dan dalam masa yang sama sebuah bas dari arah sama gagal mengelak lalu mengilis mangsa,” katanya.

Tambah Baharudin, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan yang dipanggil ke lokasi kejadian.

“Pemandu MPV berusia 29 tahun yang berasal dari Kampung Mak Kemas Bukit Payung dan pemandu bas berusia 28 tahun yang berasal dari Bachok Kelantan, tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button