Jenayah & Mahkamah

Lima pegawai imigresen direman, bantu seludup PATI

TAWAU – Sembilan individu, termasuk lima pegawai penguat kuasa Jabatan Imigresen (JIM) direman bagi membantu siasatan berhubung sindiket penyuludupan keluar pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri ini.

Kesemua individu terbabit direman selama enam hari bermula 24 sehingga 29 Mac ini  selepas Majistret Leona Dominic Mojiliu,  membenarkan permohonan pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, semalam.

Lima pegawai Imigresen berusia 30 hingga 41 tahun itu terdiri tiga wanita dan dua lelaki, masing-masing bertugas di Lapangan Terbang Tawau (LTT) ditahan antara jam 2 petang hingga 9 malam semalam menerusi Ops Lancar oleh SPRM.

Empat lagi individu awam disyaki ejen masing-masing ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan sekitar daerah Tawau antara jam 3 hingga 5 petang hari yang sama.

Suspek disyaki menerima wang suapan berjumlah RM100 hingga RM3,000 bagi setiap PATI daripada ejen sebagai dorongan untuk melepaskan PATI yang menggunakan kad pengenalan individu lain daripada pemeriksaan di LTT.

Berdasarkan siasatan dan risikan yang dijalankan, kegiatan sindiket terbabit bermula sejak tahun 2021 membabitkan penyeludupan keluar PATI dari Sabah ke Semenanjung melalui lapangan terbang.

Sementara itu, Ketua Pengarah JIM, Datuk Roslin Jusoh, dalam satu kenyataan hari ini, berkata, pihaknya  tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawainya yang melakukan pelanggaran integriti sehingga mencemarkan nama baik dan imej jabatan itu.

Katanya, tindakan dan hukuman yang serius akan diambil termasuk buang kerja jika pegawai yang melakukan kesalahan terbukti bersalah.

“JIM serius dan komited dalam memastikan tahap integriti pegawai jabatan ini sentiasa berada di tahap maksimum dengan sentiasa bekerjasama erat dengan agensi lain termasuk SPRM dalam usaha memerangi penyeludupan migran,” katanya dalam kenyataan itu.

Show More

Related Articles

Back to top button