Berita Semasa

KDN teliti persediaan bawa keluar kanak-kanak dari depoh tahanan

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang meneliti persediaan awal bagi perancangan membawa keluar kanak-kanak yang berada di depoh tahanan sementara Imigresen di seluruh negara

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau telah mengarahkan Ketua Setiausaha KDN, Datuk Ruji Ubi bagi memulakan proses tersebut.

“KSU (Ketua Setiausaha) telah diarahkan untuk to keep the ball rolling (meneruskan perancangan itu). Biar mereka buat kerja mereka dahulu,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Warga KDN, di sini hari ini.

Ketika ini jelas Saifuddin, pihaknya sedang mengenal pasti jumlah sebenar dan keberadaan kanak-kanak berkenaan, sebelum diserahkan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengkhusus dalam penjagaan kanak-kanak.

Pada 15 Feb lepas, Saifuddin dilaporkan sebagai berkata, pihaknya serius menguruskan kebajikan kanak-kanak di depoh berkenaan selepas ia mendapat perhatian aktivis hak asasi manusia serta badan antarabangsa, dan perbincangan telah diadakan bersama beberapa kumpulan termasuk NGO untuk pelaksanaannya.

Sementara itu, Saifuddin turut mengesahkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sedang menerima rawatan kesihatan di sebuah hospital di ibu negara.

Beliau berkata, pihak Jabatan Penjara Malaysia telah memberi pelepasan kepada bekas Ahli Parlimen Pekan itu untuk mendapatkan rawatan tersebut.

“Semalam Ketua Pengarah Penjara maklumkan saya, beliau (Najib) dibawa ke hospital untuk menjalani rawatan yang bersabit dengan kesihatannya,” jelas Saifuddin lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button