Politik

PN tutup pintu kepada PEJUANG sebagai komponen

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) menolak permohonan Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) untuk menyertai gabungan parti itu.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berlangsung semalam.

“Majlis Tertinggi telah membuat keputusan menolak permohonan kemasukan Parti Pejuang Tanah Air ke Perikatan Nasional,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Presiden PEJUANG, Datuk Seri Mukhriz Mahathir memaklumkan, pihaknya sudah mengutuskan surat kepada Muhyiddin selaku Pengerusi PN supaya partinya diterima sebagai anggota komponen PN.

Beliau dilaporkan berkata pertimbangan dibuat selepas pihaknya mendapati tidak memadai kerjasama pakatan pilihan raya diwujudkan hanya untuk mengelakkan pertindihan kerusi yang ditandingi terutamanya ketika perlu menggunakan lambang berasingan oleh kedua-dua pihak.

Dalam pada itu, Hamzah memaklumkan, Masjid Tertinggi PN juga membuat ketetapan mengekalkan penggunaan lambang PN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Katanya, lambang parti PAS digunakan di PRN Kelantan dan Terengganu.

“Majlis Tertinggi turut mengarahkan jentera pilihan raya di enam negeri tersebut agar memperkukuhkan persiapan dan kesiapsiagaan di tahap tertinggi,” jelas beliau.

Hamzah memberitahu, Majlis Tertinggi PN mengumumkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dilantik sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya PN manakala Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee sebagai Pengerusi Badan Perhubungan PN Sabah dan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr. Mohd Radzi Jidin sebagai Pengerusi Badan Perhubungan PN Wilayah Persekutuan.

Show More

Related Articles

Back to top button