Berita Semasa

Aidiladha: MiiM kerjasama dengan Mercy Mission, sasar korban 1,000 ekor kambing di benua Afrika

KUALA LUMPUR – Mawarith Integrated SDN BHD (MiiM) telah mengadakan perjanjian persefahaman (MoU) dengan Mercy Mission bagi menjayakan Program Qurban 2023 (MyQurban) yang akan dijalankan di negara-negara terpilih di benua Afrika melalui inisiatif Imam Development Program (IDP).

Pengarah Komersial MiiM, Abdul Hadi Pilus berkata, kerjasama ini adalah sebagai salah satu sumbangan syarikat dan pelanggan syarikat yang telah memberikan kepercayaan kepada pihak MiiM, iaitu syarikat yang menguruskan pewarisan Islam (faraid, pusaka dan hibah) secara digital patuh syariah yang berasaskan teknologi kewangan (fintech).

“MiiM menyokong apa juga bentuk inisiatif yang baik dalam memberikan impak positif kepada komuniti Islam di Malaysia dan juga di peringkat antarabangsa melalui pelbagai program secara tersusun dan berterusan. Ia selari dengan visi dan misi MiiM yang ingin memartabatkan pengurusan pewarisan diperingkat antarabangsa,” katanya kepada Malaysia Tribune hari ini.

Menurut Hadi lagi, untuk program itu pihaknya menyasarkan sebanyak 1,000 ekor kambing korban disumbangkan dari peserta di Malaysia.

Sehubungan itu, Hadi berkata, kepada mana-mana pihak yang berhasrat untuk menyumbang kepada program itu boleh melayari laman sesawang www.miim.my atau berhubung dengan wakil Mumathil MiiM di seluruh negara.

“Di samping kerjasama sebagai rakan strategik Mercy Mission untuk Projek MyQurban 2023, Miim juga menawarkan pakej istimewa untuk produk i-Sagher dan i-Kabeer kepada anggota dan sukarelawan Mercy Mission yang bekerja di Malaysia dan juga luar negara apabila mendaftar dan menggunakan perkhidmatan pengurusan pewarisan yang ditawarkan oleh MiiM.” ujarnya.

Dalam pada itu, menurut Pengarah Program IDP, Effuan Aswadi, Mercy Mission melalui IDP tidak asing lamgi di bumi Afrika apabila telah terlibat dalam program pembangunan imam dan guru agama di Afrika Selatan, Lesotho, Malawi, Zimbabwe, Zambia, Swaziland, Namibia, Botswana dan Tanzania.

Katanya, imam dan guru agama dibekalkan dengan wang saku, gajet, biasiswa pengajian, bantuan perubatan, penajaan umrah dan lain-lain.

“Pihak kami menyasarkan sebanyak 1,000 ekor kambing berjaya dikumpul melalui kerjasama MiiM untuk Program MyQurban 2023 ini.

“Imam-imam dan guru-guru agama di bawah IDP dapat memperkasakan sumbangan mereka di dalam komuniti setempat dengan memberikan gambaran syiar Islam yang rahmah dengan sumbangan kita dari Malaysia, selari dengan aspirasi Perdana Menteri Malaysia sekarang,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button