Berita Semasa

TPM Zahid saran gaji lepasan TVET dinaikkan kepada RM3,000

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi,  menyarankan gaji graduan lepasan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di negara ini dinaikkan kepada RM3,000.

Menurut Ahmad Zahid, yang juga menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), graduan TVET perlu diberikan gaji setimpal dengan kelayakan mereka dalam bidang tertentu.

“Bagi saya graduan TVET mesti diberikan gaji yang setimpal dengan apa yang mereka pelajari, RM2,5500 pasti tidak mencukupi kerana itu dibawah garis kemiskinan.

“Untuk itu saya menyarankan untuk graduan TVET mesti memperolehi gaji permulaan sebanyak RM 3000. Ini azam kita, jangan yang tidak mendapat latihan mendapat gaji melebihi 2000 tetapi yang mendapat latihan tidak mendapat gaji setimpal,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Menandatangani Memorandum Kerjasama Transformasi Program TVET antara syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta di Institut Latihan Perindustrian (ILP) di sini, hari ini.

Yang hadir sama, Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar dan Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Yin.

Sebanyak 10 memorandum kerjasama telah dimeterai antara kerajaan dengan pihak industri.

Tambah Ahmad, saranan berkenaan adalah munasabah, kerana graduan TVET adalah graduan yang berkemahiran dan itu boleh membantu majikan mengurangkan kos dalam menghasilkan produk mahupun perkhidmatan.

“Kerana mereka adalah pekerja mahir bukan pekerja 3-D (Dirty Dangerous and Difficult).

“Pekerja mahir akan meningkatkan produktiviti negara dan ini akan mengurangkan kos untuk menghasilkan produk akhir ataupun perkhidmatan akhir jadi ia adalah munasabah dan ini bukan kerja biasa ini adalah bekerja mahir yang bersesuaian dengan kehendak pasaran,” katanya lagi.

Ditanya mengenai adakah pihak kerajaan akan menetapkan sebarang undang-undang bagi saranan berkenaan, Ahmad berkata, perkara berkenaan akan berbalik semula kepada pihak industri dan inisiatif Kementerian Sumber Manusia.

“Kita menyarankan jadi kita akan pulangkan kepada pihak industri saya tidak mahu diperundangkan tetapi berbalik kepada pihak industri kerana mereka akan mengeluarkan barangan dalam bentuk produk atau perkhidmatan yang lebih baik kerana mereka ini dilatih.

Show More

Related Articles

Back to top button