Berita Semasa

KPM tidak bercadang kembalikan sistem penilaian berasaskan peperiksaan

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) tidak bercadang mengembalikan sistem penilaian pelajar melalui peperiksaan, termasuk peperiksaan utama seperti UPSR dan PT3.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) masih merupakan pendekatan terbaik untuk beralih kepada pembelajaran yang lebih menyeronokkan bagi murid serta dapat membangunkan potensi murid secara menyeluruh.

“Oleh itu, KPM tidak bercadang untuk mewujudkan semula sistem peperiksaan pada masa ini.

“Sebarang keputusan untuk melaksanakan semula peperiksaan bergantung pada hasil laporan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025,” kata Fadhlina.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) sama ada kementerian akan mewujudkan semula sistem peperiksaan, di Dewan Rakyat hari ini.

Tambah Fadhlina, PBS melibatkan pentaksiran berasaskan bilik darjah, aktiviti jasmani, sukan dan kokurikulum serta psikometrik, selain menitikberatkan nilai murni, minat dan pembentukan sahsiah.

Pada awal bulan ini, Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) menggesa Putrajaya mengkaji semula pemansuhan UPSR, dengan berkata ramai ibu bapa merungut anak mereka kurang motivasi untuk belajar.

Pada April 2021, KPM mengumumkan pemansuhan UPSR dan pembatalan PT3 bagi tahun tersebut, diikuti pemansuhan PT3 sepenuhnya pada Jun 2022.

Show More

Related Articles

Back to top button