Berita Semasa

AJK masjid, surau boleh dikenakan tindakan jika benarkan penceramah tanpa tauliah berceramah

ISKANDAR PUTERI – Ahli jawatankuasa (AJK) masjid dan surau di Johor boleh dikenakan tindakan dan dipecat, sekiranya membenarkan penceramah tanpa tauliah memberi ceramah di negeri itu.

Laporan Bernama menyebut, Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar sebagai bertitah, penceramah agama yang hendak menyampaikan ceramah di negeri itu, mestilah memiliki tauliah daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

Baginda bertitah, semua AJK masjid dan surau yang hendak menganjurkan ceramah agama, wajib mendapatkan kebenaran daripada MAINJ melalui Pejabat Kadi Daerah.

Titah baginda lagi, penceramah juga perlu menyatakan secara terperinci tajuk ceramah serta perkara yang ingin disampaikan, ketika memberi ceramah agama.

“Sekiranya ada mana-mana masjid dan surau yang gagal patuhi peraturan ini, maka semua AJK masjid dan surau itu akan diambil tindakan dan dipecat.

“Tindakan ini bukanlah untuk menghalang program penyebaran ilmu Islam, tetapi untuk kawal penyebaran fahaman yang menyeleweng dan terpesong daripada hukum syarak yang berlandaskan Ahli Sunnah Wal Jamaah di negeri ini,” titah Sultan Ibrahim.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan pembukaan Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, di sini hari ini.

Titah Sultan Ibrahim tindakan tersebut perlu, untuk mengawal golongan pelampau agama yang boleh mencetuskan kekeliruan kepada umat Islam dan golongan muda, yang kurang berilmu.

“Sehubungan itu, kerajaan harus meningkat mutu pendidikan di sekolah dan pusat pengajian tinggi, bagi melahirkan generasi masa depan yang tinggi ilmu pengetahuan,” titah baginda.

Show More

Related Articles

Back to top button