Politik

Shahaniza tekad wujudkan sekolah politik UMNO

SHAH ALAM – Calon Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Shahaniza Shamsudin tekad untuk membantu merealisasikan penubuhan sekolah politik UMNO sekiranya menang dalam pemilihan parti Sabtu ini.

Menurut Ketua UMNO bahagian Maran itu, penubuhan sekolah tersebut merupakan antara fokus utama beliau kerana cadangan untuk menubuhkan sekolah berkenaan sudah dibangkitkan sebelum ini, namun belum dapat direalisasikan lagi.

“Kita tahu DAP dah lama ada sekolah politik UMNO pernah merancang untuk buat sekolah politik, namun belum dapat direalisasikan sepenuhnya.

“Saya rasa InsyaAllah saya kalau saya dipilih untuk MKT saya akan secara sukarela menawarkan diri saya untuk membantu parti untuk mewujudkan sekolah politik UMNO,” katanya ketika ditemui pemberita selepas wacana bersama Datuk Razlan Rafik dan Datuk Fathul Bari Mat Jahaya anjuran Sinar malam tadi.

Beliau bersama Razlan dan Fathul Bari adalah antara tiga daripada 95 calon yang bertanding bagi merebut 25 kerusi MKT UMNO peringkat bahagian dan pusat.

Mengulas lanjut, Shahaniza yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul, berkata, pemimpin UMNO seharusnya mempertahankan institusi kepimpinan presidennya walau dalam apa jua keadaan bagi membuktikan taat setia kepada perlembagaan parti.

“Bercakap tentang keahlian UMNO yang saya lihat akhir-akhir ini yang dikatakan berlaku ‘pembersihan’ parti. Kalau ingin menjadi ahli UMNO itu mesti menghayati hala tuju UMNO itu sendiri.

“Kepada mereka yang baru menjadi UMNO perlu menghayati Perlembagaan UMNO itu supaya bila dia jadi pemimpin dia akan mengutamakan parti itu dahulu.

“Saya selalu cakap kalau kita jadi orang parti kita tidak boleh cakap dia orang mereka, saya orang dia.

“Orang parti akan dahulukan parti walau apa keadaan sekalipun dan menghormati struktur parti itu sendiri. Macam dalam kepimpinan, institusi presiden itu sendiri harus dihormati sebab itu kesetian sangat penting.

“Macam mana sekalipun awak menghadapi masalah dalaman parti, saya kira awak kena setia dengan keputusan parti. Contohnya, bila kita buat keputusan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dan ramai yang tak setuju tapi parti telah buat keputusan kita kena akur,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button