Minggu pertama sesi persekolahan 23/24 fokus kepada pembinaan sosial dan mental pelajar
PUTRAJAYA – Minggu pertama sesi persekolahan 2023/2024 akan hanya diisi dengan penerapan nilai-nilai jasmani, emosi, rohani, sosial dan intelek, dengan pengisian akademik hanya akan dimulakan pada minggu kedua.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali menjelaskan, Pekeliling Bilangan 5 Tahun 2023 memberi panduan kepada sekolah-sekolah untuk mengadakan program atau aktiviti yang bersesuaian bagi menyediakan pelajar dari segi sosial dan mental.
Katanya nilai-nilai jasmani, emosi, rohani dan sosial diutamakan dahulu bagi membentuk pelajar menjadi beradab, berakhlak dan berintegriti.
“Kalau dahulu fokus hari pertama terus mengajar subjek akademik tetapi kali ini kita minta sekolah merapatkan hubungan antara guru, pelajar, ibu bapa dan komuniti. Semua ini akan bangkitkan satu semangat iaitu saling menyokong sudah diterjemah di awal persekolahan,” katanya lagi.
Bagaimanapun, tambahnya, sekolah dengan bilangan pelajar tidak ramai dan telah selesai melaksanakan aktiviti tersebut boleh meneruskan pengajaran dan pembelajaran.
Untuk rekod, sesi persekolahan 2023/2024 akan bermula pada 19 Mac 2023 hingga 9 Mac 2024 bagi negeri Kumpulan A, manakala 20 Mac 2023 hingga 10 Mac 2024 bagi negeri Kumpulan B.
Kumpulan A membabitkan Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu, manakala Kumpulan B meliputi Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.