Jenayah & Mahkamah

Muhyiddin Yassin mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pengubahan wang haram RM5 juta

SHAH ALAM – Presiden Bersatu,Tan Sri Muhyiddin Yassin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini bagi pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM5 juta yang dilakukan pada awal tahun lalu.

Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Rozilah Salleh sejurus pertuduhan dibacakan pagi tadi.

“Mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan,” kata Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN).

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu dilakukan di AmBank cawangan Amcorp Mall, Jalan Persiaran Barat, Petaling Jaya, pada 7 Januari 2022.

Pendakwaan mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan berkenaan dilakukan atau RM5 juta yang mana yang lebih tinggi jika disabitkan kesalahan.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib, Mohd Fadhly Mohd Zamry, Zander Lim Wai Keong, Kalai Vani Annadorai dan Maziah Mohaide.

Muhyiddin pula diwakili sembilan peguam iaitu Datuk K Kumaraendran, Chetan Jethwani, Dev Kumaraendran, Amiratu Al Amirat Saleh Mohamed Garbaa, Mohd Isa Mohamad Basir, Shahir Ab Razak, Teh See Khoon, Varsha Chelvi dan Raja Syuhada Raja Khairuddin.

Terdahulu, pihak pendakwaan memohon supaya mengguna pakai ikat jamin RM2 juta dengan dua penjamin berserta syarat tambahan yang ditetapkan ke atas Muhyiddin di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur minggu lepas.

Hakim kemudian membenarkan permohonan tersebut untuk mengguna pakai jaminan serta syarat tambahan yang ditetapkan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur iaitu tertuduh menyerahkan pasportnya kepada mahkamah serta membenarkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Tiada bantahan direkodkan daripada peguam mewakili Muhyiddin, iaitu Datuk K Kumaraendran.

Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button