Berita Semasa

MiiM tawar kos pengesahan dokumen hibah dengan harga serendah RM8,000

Sebagai galakan lebih ramai umat Islam berhibah

PUTRAJAYA – Mawarith Integrated Sdn Bhd (Mawarith Integrated) yang merupakan penyedia khidmat perwarisan harta umat Islam menawarkan kos pengesahan dokumen hibah dengan harga istimewa iaitu serendah RM8,000.

Menurut Pengarah Komersial Mawarith Integrated, Abdul Hadi Pilus, tawaran itu adalah bagi membolehkan lebih ramai umat Islam mewariskan harta mereka dan merancang pewarisan semasa hidup.

“Pasaran penyediaan dokumen hibah di Malaysia semakin berkembang selari dengan kesedaran masyarakat kepada kepentingan merancang pewarisan semasa hidup.

“Terdapat penawaran kos penyediaan dokumen hibah yang mencecah sehingga puluhan ribu ringgit bahkan sehingga mencecah ratusan ribu ringgit, di mana hanya yang mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh sahaja mampu untuk melaksanakannya,” katanya kepada Malaysia Tribune.

Menyedari situasi itu, Hadi berkata, pihaknya terpanggil untuk menawarkan penyedian dokumen hibah percuma melalui kempen Smart Dokumen Pewarisan Rahmah (SDPR).

Bagaimanapun, katanya, penyediaan dokumen hibah oleh pemberi hibah itu bukanlah situasi mutlak pusaka terlaksana atau merupakan kata putus di sisi undang-undang tetapi ia masih memerlukan kepada proses pentadbiran pusaka di setiap institusi yang berkaitan.

Malah, jelasnya, dokumen hibah itu masih boleh dicabar keabsahannya oleh para waris yang lain dan berpotensi untuk tidak dapat dilaksanakan atau boleh terbatal kepada penerima hibah.

“Dokumen hibah perlu disahkan kesahihannya di Mahkamah Tinggi Syariah sekiranya terdapat sebarang bantahan atau pertikaian daripada waris-waris.

“Masyarakat sedia maklum di mana kos yang tinggi diperlukan untuk melantik peguam bagi proses pengesahan dokumen hibah ini. Biasanya  kos penyedian dokumen hibah dicaj sehingga 5 peratus daripada jumlah aset yang dihibahkan.

“Sebagai contoh, jika harga rumah yang dihibahkan bernilai RM1 juta, maka kos dokumen hibah adalah sebanyak RM50,000. Di sinilah MiiM memainkan peranan membantu menawarkan kos yang rendah supaya hasrat pemberi hibah terlaksana dan tercapai tanpa bebanan kos yang tinggi dan melampau,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Hadi berkata, kempen tersebut masih berjalan sehingga Hari Raya Aidilfitri ini dan orang ramai  boleh merujuk di sesawang www.miim.my. untuk keterangan lanjut.

Show More

Related Articles

Back to top button