Politik

Muhyiddin dijangka ditahan, didakwa di mahkamah esok

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris menjangkakan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Menurut Razali, Muhyiddin juga dijangka akan didakwa di mahkamah esok.

Katanya, penahanan Muhyiddin merupakan satu tindakan yang tidak berperikemanusian susulan pemilihan parti yang akan dijalankan esok selain Parlimen yang masih lagi bersidang.

“Muhyiddin telah diminta hadir ke Ibu Pejabat SPRM dan kita jangkakan beliau akan ditahan (hari ini) dan didakwa di mahkamah esok.

“Kami menganggap ini tidak berperikemanusiaan kerana parti akan mengadakan pemilihan esok, dan Parlimen juga sedang bersidang,” katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pagi tadi.

Terdahulu,Muhyiddin tiba di perkarangan SPRM pada jam 11.18 pagi, hari ini, bagi memberi keterangan dipercayai berkaitan kes salah guna dana kerajaan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

Bekas Menteri Kabinet, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim; Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr. Radzi Jidin; Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Mohd Harun; Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal antara pemimpin Perikatan Nasional yang hadir memberi sokongan terhadapnya hari ini.

Mereka menyertai lebih 500 penyokong PN yang melaungkan ‘bangkit! bangkit!’, ‘lawan kezaliman’ dan ‘lawan Anwar dalam himpunan tersebut.

Show More

Related Articles

Back to top button