Berita Semasa

Tiada laporan penyakit bawaan air di PPS – Exco Johor

ISKANDAR PUTERI – Tiada sebarang laporan diterima mengenai penyakit bawaan air di fasiliti kesihatan di Johor setakat ini.

Pengerusi Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon bagaimanapun berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) akan terus melaksanakan pemantauan di kawasan tang terjejas banjir.

“Tiada penyakit sakit bawaan air seperti cirit birit, taun, muntah akibat banjir yang dilaporkan berlaku di negeri ini setakat ini.

“Kita harap tidak berlaku, kerana setiap pusat pemindahan sementara (PPS) ada stesen kesihatan masing-masing terdiri daripada petugas kesihatan yang akan pantau keadaan mangsa banjir,” katanya.

Sementara itu, berkenaan fasiliti kesihatan yang terjejas akibat banjir, Tian Soon berkata, ia tidak banyak menjejaskan perkhidmatan kesihatan kepada para mangsa.

Setakat hari ini, klinik kesihatan yang masih terjejas diebabkan banjir ialah Klinik Kesihatan Sri Gading.

Bagi Klinik Kesihatan Chaah yang teruk terjejas banjir, operasi klinik tersebut dipindahkan ke balai raya berhampiran.

“Pengoperasian semula klinik yang terjejas banjir banyak dibantu klinik-klinik kesihatan berhampiran yang tidak terjejas banjir dan hospital utama di daerah itu.

“JKNJ akan memastikan pergerakan pesakit tidak terganggu, sekiranya klinik kesihatan masih terjejas dan penduduk perlukan rawatan, pesakit akan rujuk ke klinik kesihatan berhampiran dan hospital utama,” katanya lagi.

Tian Soon kemudiannya berkata, isu berkenaan fasiliti kesihatan yang mengalami kerosakan dan memerlukan peruntukan segera untuk dibaiki akan dibawa ke dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) nanti.

Show More

Related Articles

Back to top button