Organisasi media konvensional perlu olah model perniagaan, selari dengan peredaran zaman
KUALA LUMPUR – Organisasi media konvensional perlu meneliti dan mengolah model perniagaan mereka bagi memenuhi keperluan peredaran zaman kini.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, pengolahan semula tersebut penting bagi memastikan organisasi tidak menerima kesan negatif akibat perbelanjaan pengiklanan yang dilihat semakin menguncup dan peralihan medium ke platform digital.
“Saya telah bertemu dan berbincang dengan pelbagai pihak, ini satu isu yang besar kerana kita lihat terutamanya dari segi perbelanjaan pengiklanan yang dulu banyak membantu untuk operasi syarikat media, sekarang ini semakin menguncup,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Penyiaran Digital Asia Pacific Broadcasting Union (ABU) 2023, di sini hari ini.
Fahmi turut menegaskan bahawa beliau tidak akan membeza-bezakan media swasta mahupun awam dalam isu tersebut kerana kedua-duanya memainkan peranan penting dalam memastikan proses semak dan imbang serta laporan benar sampai kepada rakyat.
Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan sedang meneliti untuk menambah baik dan meminda beberapa akta termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) 1981 bagi memenuhi keperluan sekarang.
Bagaimanapun, katanya, pindaan akta-akta tersebut perlu mengambil kira beberapa aspek seperti keselamatan awam, kebebasan bersuara dan kebebasan media.
“Cara kita melihat konsep kandungan itu pun kita perlu terjemahkan dalam undang-undang. Dulu ketika banyak akta ini digubal, waktu itu kita tidak bercakap tentang kandungan tetapi sekarang inilah realitinya,” katanya.
Fahmi berharap pindaan akta-akta tersebut dapat dibentangkan di Dewan Rakyat pada Jun atau Oktober ini.