Pemain United perlu ‘menyorok’ untuk beberapa hari – Roy Keane
LIVERPOOL – Bekas pemain Manchester United, Roy Keane menyifatkan kekalahan 7-0 bekas pasukannya di tangan Liverpool awal pagi tadi sebagai suatu perkara yang memalukan.
Keane yang juga pengulas sukan bagi perlawanan tersebut berkata, pemain-pemain Manchester United tidak mempunyai semangat juang dan sememangnya patut berasa malu.
“Ia hari yang sangat teruk, amat mengejutkan. Permainan sudah berakhir di awal babak kedua.
“Pemain-pemain senior amat memalukan. Mereka tidak menunjukkan kemahiran sebagai pemimpin. Mengejutkan. Hari yang sukar buat United.
“Mujurlah saya bukan sebahagian daripada pasukan yang dibelasah sebegitu teruk ketika di United.
“Pemain-pemain sepatut berasa malu. Ketika cabaran semakin sukar, mereka terus hilang. Mereka tidak menunjukkan maruah, atau semangat juang,” katanya.
Tambah Keane, pemain-pemain Manchester United perlu ‘menyorok’ selama beberapa hari selepas dimalukan dalam perlawanan tersebut.
“Pemain-pemain bintang, yang kami bentuk, semuanya mengecewakan. Jika dibelasah enam atau tujuh, anda patut menyorok beberapa hari.
“Saya akan menghilangkan diri untuk beberapa bulan. Saya tidak tahu nak kata apa, saya amat terkejut,” ujarnya lagi.
Mengulas lanjut, Keane turut melabelkan persembahan penjaga gol, David De Gea sebagai budak sekolah, manakala Gary Neville berang dengan prestasi bekas pasukannya, terutama Bruno Fernandes.
“Babak kedua amat memalukan dan kucar-kacir. Ia berpunca daripada kapten Bruno Fernandes.
“Ia bukan persembahan atau semangat yang biasa mereka pamerkan. Ten Hag akan menanganinya seperti yang dilakukan dalam situasi sukar sebelum ini,” kata Neville.
Untuk rekod, Manchester United hanya tewas sekali dalam 22 perlawanan sebelum ini.