Berita SemasaSukan

Liverpool aibkan Manchester United 7-0

LIVERPOOL –  Liverpool meneruskan rentak kemenangan selepas mengaibkan seteru utama mereka Manchester United 7-0 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di Anfield, awal pagi tadi. 

Pengendali Liverpool Jurgen Klopp, berkata, Liverpool telah membuktikan kemampuan sebenar mereka  melalui persembahan yang baik ditampilkan oleh anak buahnya malam tadi. 

“Kami membuktikan malam ini apa yang kami mampu lakukan, dan ia akan diteruskan bermula sekarang. Kami tidak bercakap tentang jumlah jaringan, tetapi berkenaan persembahan,” kata Klopp.

Bagi Manchester United pula, ini merupakan kekalahan kedua mereka sejak 22 perlawanan sebelum ini, namun apa yang lebih memeritkan kekalahan malam tadi merupakan kekalahan terburuk buat pasukan The Red Devils dalam sejarah EPL. 

Penyerang Liverpool yang dibarisi Cody Gakpo, Darwin Nunez dan Mohamed Salah menunjukkan keberkesanan dengan masing-masing meledak dua gol.

Pada awal musim, pembelian Nunez serta Gakpo yang menelan belanja tinggi telah  dipersoalkan oleh peminat, namun kedua-dua pemain itu menikmati hari terbaik dalam karier mereka di Liverpool dan pada masa sama membuktikan kehadiran mereka tidak sia-sia.

Lebih memedihkan buat United, kedua-dua pemain berkenaan pernah dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford.

Dalam perlawanan awal pagi tadi, Gakpo telah berjaya menjaringkan dua gol untuk menewaskan David de Gea. Pemain berusia 23 tahun itu sudah meledak empat gol dalam enam perlawanan terakhirnya.

Nunez yang dlihat sedikit perlahan pada awal musim ini menggunakan ketinggiannya di udara dengan meledak dua gol menerusi tandukan dan melebarkan jaringannya kepada 13 gol musim ini.

Salah terus mengekalkan aksi konsisten bersama Liverpool dan kini beliau adalah penjaring terbanyak Liverpool dalam saingan dengan rekod jaringan 129 gol.

“Mo Salah mencapai sesuatu yang amat istimewa. Kita tidak boleh lupakan hakikat itu. Dia seorang pemain dan insan yang amat istimewa,” ujar Klopp lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button