Bisnes & Ekonomi

Inisiatif Rahmah berjaya bantu legakan tekanan inflasi – Rafizi

PUTRAJAYA – Inisiatif Rahmah yang diperkenalkan kerajaan bagi membantu mengurangkan kos pengguna sudah mula menunjukkan keberkesanan dalam menstabilkan tekanan terhadap ekonomi.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, mengambil contoh pengenalan Menu Rahmah, iaitu inisiatif penjualan makanan bermasak pada harga RM5, berjaya menurunkan kadar Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi komponen Makanan di Luar Rumah.

“Sebagai contoh, inflasi IHP bagi komponen Makanan di Luar Rumah telah mereda buat pertama kali sejak Ogos 2021, daripada 9.6 peratus pada Disember 2022 ke 9.3 peratus pada Januari 2023.

“Kerajaan akan memastikan kesinambungan usaha sebegini agar terus meringankan beban rakyat,” katanya dalam satu sidang akhbar, di sini hari ini.

Beliau seterusnya memaklumkan, kadar inflasi Malaysia pada Januari 2023 terus menyederhana kepada 3.7 peratus berbanding bulan yang sama tahun lepas, seperti yang diumumkan Jabatan Perangkaan pada 24 Februari.

Sebagai perbandingan, kadar inflasi pada Disember lalu adalah 3.8 peratus diikuti 4 peratus pada November dan Oktober manakala September mencatatkan 4.5 peratus dan Ogos 4.7 peratus.

Rafizi berkata, berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, kenaikan inflasi bagi Januari 2023 adalah 0.2 peratus, berkadaran sama dengan yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.

“Kenaikan inflasi bagi bulan Januari 2023 masih didorong oleh peningkatan kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol, namun ia telah menyederhana kepada 6.7 peratus, berbanding 6.8 peratus pada bulan sebelumnya.

“Dua lagi kumpulan dalam kelompok tiga wajaran tertinggi turut menyederhana atau mencatatkan kadar yang sama, iaitu Kumpulan Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api Lain (kekal 1.5 peratus) dan Kumpulan Pengangkutan yang mereda kepada 4.0 peratus berbanding 4.9 peratus pada bulan sebelumnya,” jelasnya.

Pada masa yang sama, Kementerian Ekonomi turut meneliti kenaikan harga barang sewaktu musim Tahun Baharu Cina di mana pertumbuhan bulan ke bulan pada 2023 (0.2 peratus) adalah rendah berbanding 2021 (0.3 peratus) dan 2022 (0.24 peratus).

Rafizi menjelaskan, perkara itu amat menggalakkan kerana ia membuktikan bahawa Malaysia telah berjaya meredakan kadar kenaikan harga di samping kekangan rantaian bekalan global dan lonjakan permintaan bermusim.

“Di samping itu, Program Penyeragaman Harga (PPH) diteruskan oleh kerajaan bagi menyeragamkan harga tujuh barangan asas yang terlibat iaitu beras putih, gula, minyak masak 1 kilogram, tepung gandum, gas petroleum cecair (LPG), petrol RON95 dan diesel.

“Langkah itu bagi memastikan bekalan barangan tersebut sampai kepada penduduk di kawasan luar bandar/pedalaman Semenanjung, Sabah dan Sarawak,” katanya.

Menurut beliau, pelaksanaan program itu akan membolehkan semua rakyat membeli barangan keperluan pada harga yang seragam.

“Bagi menstabilkan harga makanan pada paras yang mampu beli, kerajaan sedang menggunakan strategi pelbagai serampang yang mempengaruhi seluruh rantaian makanan, daripada bahan mentah sehinggalah ke makanan di luar rumah,” jelasnya.

Rafizi memberitahu, tumpuan jangka pendek kepada kebertanggungjawaban harga berpatutan akan berterusan dengan pembangunan ekosistem berasaskan data-data harga dari seluruh negara, demi menyuntik keanjalan harga dan bekalan.

Show More

Related Articles

Back to top button