Berita Semasa

Mekanisme baharu bayaran ujian lesen ditanggung kerajaan akan diumumkan nanti

PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan akan mengumumkan mekanisme baharu mengenai bayaran ujian memandu untuk lesen motosikal kelas B2 dan lesen teksi, bas dan ehailing yang akan diberi percuma dan ditanggung kerajaan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke baru-baru ini berkata, pihaknya perlu memperincikan dahulu butiran sebelum keputusannya diumumkan.

“Mekanisme terperinci akan diumumkan selepas ini kerana ia hanya sepintas lalu sebab saya pun baru dapat berita baik ini. Jadi segi mekanisme pelaksanaan kita perincikan lagi sebelum diumumkan.

“Saya belum pasti berapa ramai yang dapat manfaat dan jumlah peruntukan kerana ia baru diumumkan dan kejutan gembira buat saya. Ada tambahan tugasan untuk saya,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 Jumat lepas, mengumumkan kerajaan bersetuju menanggung bayaran ujian memandu untuk lesen motosikal kelas B2 dan lesen teksi, bas dan ehailing.

Sementara itu, Anthony turut menghargai pengumuman Perdana Menteri untuk meneruskan inisiatif pas bulanan My50.

Katanya, inisiatif itu memanfaatkan 180,000 pengguna di Lembah Klang yang menggunakan perkhidmatan rel merangkumi Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Bas (BRT), Monorel dan RapidKL.

Anthony turut menjangkakan penggunaan pas bulanan berkenaan akan meningkat pada tahun ini.

“Terima kasih kepada Menteri Kewangan kerana meneruskan peruntukan kepada kita untuk teruskan pas bulanan My50, khususnya pengguna pengangkutan awam di Lembah Klang supaya dapat diteruskan.

“Saya menjangkakan bahawa penggunaan yang akan melanggan pas ini akan meningkat pada tahun ini, apabila perkhidmatan MRT2 akan bermula pada Mac nanti,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button