Tangani Islamofobia menerusi perdebatan, diskusi – PM Anwar
PUTRAJAYA – Isu Islamofobia wajar ditangani menerusi perdebatan idea serta diskusi intelektual, dan bukannya keganasan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penerapan nilai rahmah, karamah dan insaniah yang terkandung dalam enam teras Malaysia Madani mampu memperbetulkan salah faham mengenai Islam.
“Malaysia menganjurkan perbincangan secara ilmiah dan bukannya keganasan, kerana permusuhan secara ideologi ini hanya akan dapat diselesaikan menerusi bicara wacana dan bertukar pandangan.
“Dengan menghargai dan menghormati hak dan maruah setiap individu, diharapkan umat Islam dapat memperbetulkan salah faham terhadap Islam oleh orang lain,” kata Anwar.
Perdana Menteri berkata demikian dalam ucaptamanya pada Forum Antarabangsa tentang Islamofobia: Libatserta Bermakna Melalui Wacana Madani, di sini hari ini.
Turut hadir, Timabalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Kadir; dan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.
Kata Anwar lagi, Islamofobia bukanlah cabaran baharu buat umat Islam, kerana ia turut dibawa sekali oleh penjajahan yang mahu mengubah rupa dan jiwa masyarakat.
Oleh sebab itu, sekiranya ajaran Islam difahami melalui sumber ajaran sebenar mustahil ia akan dikenali sebagai agama yang membawa perpecahan serta keganasan.
“Aspek penting Malaysia Madani ialah keperluan untuk menghormati dan menyanjungi hak dan maruah setiap manusia tanpa mengira warna kulit, agama atau latar belakang sosioekonomi,” kata Anwar lagi.