Berita SemasaPM X

Peruntukan edar naskhah terjemahan al-Quran manfaatkan banyak pihak

PUTRAJAYA – Peruntukan bagi pengedaran segera cetakan 20,000 naskhah terjemahan al-Quran boleh memberi manfaat kepada semua termasuk rakyat Malaysia meningkatkan kefahaman mengenai ajaran Islam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengedaran itu walaupun agak kecil merupakan langkah permulaan penting bagi memberikan kefahaman sebenar mengenai ajaran Islam.

“Masalah sekarang adalah kefahaman sebab pihak yang menentang Islam ini tak pernah baca (al-Quran dan tafsir). Malah ada (ekstrem kanan) melabel pihak yang tidak bersetuju dengan pendirian mereka sebagai liberal, sekular dan (pemikiran) Barat.

“Oleh itu, kena baca balik teks, terjemahan dan tafsir (usaha) ini sekurang-kurangnya boleh menyelamatkan dan mengangkat penghayatan Islam ini,” kata beliau pada sidang akhbar selepas menghadiri Forum Antarabangsa tentang Islamofobia: Libatserta Bermakna Melalui Wacana Madani, di sini hari ini.

Anwar berkata demikian bagi menjawab soalan pemberita mengenai peruntukan kerajaan dalam pengedaran cetakan al-Quran itu yang dikritik sesetengah pihak yang menyifatkan jumlah itu agak besar.

Anwar berkata, pengedaran itu dapat menggalakkan lebih ramai mendapat akses kepada teks terjemahan dan tafsir kitab suci itu sekali gus meningkatkan kefahaman yang lebih mendalam mengenai ajaran Islam, selari tradisi aqliyah atau tradisi ilmu.

Ketika pembentangan Belanjawan 2023 pada Jumaat lepas, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan kerajaan menyumbang RM10 juta kepada Yayasan Restu bagi pengedaran segera cetakan 20,000 naskhah terjemahan al-Quran.

Sementara itu, pada 27 Jan lepas, Anwar mengumumkan Malaysia akan mencetak sebanyak sejuta naskhah al-Quran sebagai simbolik penuh hikmah dan matang bagi menjawab serangan terhadap Islam seperti kejadian pembakaran kitab suci al-Quran di Sweden baru-baru ini.

Show More

Related Articles

Back to top button