
Bakul Rahmah: Agihan perlu dibuat secara jujur, hanya diterima mereka yang layak
KUALA LUMPUR – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub mengingatkan pihak-pihak yang terlibat dalam pengagihan Inisiatif Bakul Rahmah supaya membuat agihan berdasarkan data penerima yang jujur.
Beliau berkata, Ahli Parlimen dan DUN, wakil rakyat, penghulu atau ketua kampung yang bertanggungjawab membuat agihan perlu memastikan barang bantuan itu sampai kepada golongan miskin tegar (B10) sahaja.
“Ini adalah inisiatif Bakul Rahmah, tidak sama seperti Menu Rahmah yang disediakan untuk golongan B40.
“Bantuan ini lebih khusus untuk miskin tegar. Misalnya mereka yang menanggung keluarga, anak-anak yatim dengan pendapatan yang sedikit, orang-orang susah yang dibebani penyakit kronik
“Saya ingin tekankan kepada wakil rakyat supaya mengagihkan barang-barang ini kepada mereka yang layak sahaja tanpa mengira parti,” katanya pada pelancaran Inisiatif Bakul Rahmah di bangunan Suruhanjaya Syarikat Malaysia di sini hari ini.
Pada majlis itu, sebanyak 8 buah trak yang membawa 2,000 kotak bantuan berisi barangan keperluan rumah asas dilepaskan untuk agihan di Perak, Kedah dan Perlis.
Salahudin berkata, KPDN mensasarkan untuk menyantuni 37,000 isi rumah B10 dengan bakul bantuan bernilai RM100 itu menjelang Aidilfitri tahun ini.
Mengulas mengenai inisiatif itu, Salahudin berkata, kerajaan tidak mengeluarkan sebarang perbelanjaan baru inisiatif Bakul Rahmah kerana mendapat tajaan dari pelbagai pihak.
Kejayaan itu katanya dicapai melalui libat urus dengan pemain industri dalam sektor hipermarket yang sedia memberikan sumbangan diperlukan bagi tujuan tersebut.
“Inisiatif ini tidak menggunakan kos kerajaan kerana kita ada libut urus dengan beberapa pemain industri yang nampaknya semakin bersungguh untuk memberikan kebajikan kepada yang memerlukan.
“Misalnya program hari ini ditaja oleh Yayasan Global Mesra (YGM) yang mengambil peranan penting .. melibatkan tokoh-tokoh korporat, syarikat berkenaan kerajaan (GLC), dan juga CSR daripada kebanyakan hipermarket ,” kata Ahli Parlime Pulai itu lagi.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune