
Ejen maid haram: Pasangan suami isteri bergelar Datuk, Datin ditahan imigresen
SHAH ALAM – Jabatan Imigresen telah menahan pasangan suami isteri bergelar Datuk dan Datin yang menjalankan kegiatan ejen Pembantu Rumah Asing (PRA) haram di sebuah premis kediaman di Shah Alam, Selangor pada 16 Februari lalu.
Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, turut ditahan ialah seramai 13 orang wanita kesemuanya adalah warganegara Indonesia yang berumur 22 tahun hingga 47 tahun.
“Siasatan awal mendapati mereka masuk ke negara ini dengan menyamar sebagai pelancong menggunakan Pas Lawatan Sosial (PLS).
“Lokasi serbuan merupakan rumah kediaman pasangan itu yang turut dijadikan tempat tinggal warganegara Indonesia tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut katanya, warga Indonesia tersebut akan dibekalkan sebagai pembantu rumah dan juga pekerja pembersihan.
Katanya, mereka akan dikenakan bayaran antara RM3,500 hingga RM4,500 seorang sebagai bayaran perkhidmatan mengurus kemasukan yang akan dipotong melalui gaji bulanan.
“Dipercayai pasangan ini menjalankan aktiviti mengurus kemasukan dan pembekalan pembantu rumah secara haram bersama-sama ejen yang dikenali dari Indonesia.
“Datuk yang berumur 66 tahun bersama pasangannya Datin yang berumur 56 tahun disiasat di bawah Seksyen 55E Akta Imigresen kerana disyaki membenarkan mana-mana Pendatang Tanpa Izin (PATI) memasuki atau tinggal di dalam premis yang ianya mempunyai kepentingan sebagai penyelia atau menguruskan atau mempunyai kawalan ke atas mana-mana premis tersebut.
“Manakala kesemua warga asing tersebut ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan-kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155) dan juga kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
“Kes akan turut dirujuk kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Kementerian Sumber Manusia berkait aktiviti pengambilan dan pembekalan pekerja yang dijalankan tanpa lesen yang sah,” ujarnya.