
Penang FC pamer kebangkitan luar biasa, Perak mula langkah kiri
KUALA LUMPUR – Pasukan Penang FC mempamerkan semangat juang luar biasa selepas berjaya bangkit mengikat Kuala Lumpur City (KL City) 2-2 dalam aksi pertama Liga Super malam tadi.
Skuad yang dikendalikan oleh Chong Yee Fatt itu membariskan kesebelasan terbaik dengan kehadiran pemain import seperti Adriano, Rafael Vitor dan Ousmane Fane.
Sementara itu, KL City yang dibimbing oleh Bojan Hodak turut meletakkan skuad terkuat termasuk kapten pasukan yang juga pemain naturalisasi baharu Malaysia, Paulo Josue dan bekas penyerang Selangor FC, Herlison Caion.
KL City membuka jaringan pertama hasil jaringan cantik menerusi sepakan percuma yang dilakukan pada minit ke-14.
Skuad Harimau Kumbang semakin tempang apabila diarahkan bermain 10 pemain selepas pemain pertahanan, A.Namathevan dilayangkan kad merah pada awal babak kedua.
Nasib pasukan pelawat bertambah parah apabila Josue meledak gol kedua peribadi selepas menyudahkan hantaran Haqimi Azim Rosli hasil serangan balas pantas pada minit ke-71.
Namun, pemain gantian Penang FC, Hadin Azman meniupkan semangat kebangkitan pasukan apabila merapatkan jurang dengan kedudukan 1-2 berselang dua minit kemudian.
Tekanan bertali arus yang dipamerkan akhirnya membuahkan hasil apabila Giovane Gomes menanduk masuk gol penyamaan pada minit ke-85 dengan kedudukan 2-2 kekal sehingga tamat perlawanan.
Dalam perkembangan lain, kepulangan Perak FC ke Liga Super bermula dengan tragedi kerana bukan setakat dibelasah Kedah Darul Aman (KDA FC) 1-4, namun dua pemainnya turut dilayangkan kad merah pada aksi di Stadium Perak, sebentar tadi.
Dua kad merah pada setiap babak itu menyebabkan Perak FC terpaksa akur membuka kempen musim 2023 dengan langkah kiri sebaliknya, buat KDA FC yang bermula yakin sekalipun ketinggalan pada aksi sulung ini.
Anak buah Datuk Lim Teong Kim itu bermula dengan baik apabila mengejutkan skuad Kenari seawal minit ketiga menerusi penyudah pemain muda, Mohamad Ikwan Hafizo sebelum Lee Tuck menyamakan kedudukan pada minit ke-16.
Kedah menambah tiga gol hasil jaringan cantik oleh Willian Lira pada minit ke-65 dan Ariff Farhan Md Isa pada minit ke-84.
Pemain gantian KDA FC, Jonathan Balotelli meraih debut idaman apabila berjaya meledak gol sulungnya untuk menjadikan kedudukan 4-1 pada minit akhir perlawanan untuk menambah derita tuan rumah.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune