Berita Semasa

Tiada cadangan mansuhkan AUKU

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak bercadang untuk memansuhkan Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) 1971.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, akta itu masih relevan, terutamanya dalam urusan tadbir universiti.

“Pemansuhan AUKU akan menjejaskan tadbir urus universiti awam terutamanya sewaktu peralihan akta,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab pertanyaan Hassan Karim (PH-Pasir Gudang), yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang untuk memansuhkan AUKU.

Khaled berkata, proses pemansuhan akta terbabit memerlukan penelitian lanjut memandangkan ia melibatkan akta lain yang turut berkuat kuasa seperti Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555), Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) dan Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 (Akta 605).

Bagaimanapun katanya, kementerian sentiasa terbuka terhadap sebarang cadangan dan pandangan untuk menambah baik akta sedia ada.

Jelas Khaled, proses libat urus dengan pihak berkepentingan seperti pelajar, kakitangan akademik dan pengurusan universiti terus dilaksanakan bagi mendapat input terkini supaya penambahbaikan AUKU dapat memenuhi kehendak pemegang taruh mengikut peredaran zaman.

“Antara agenda utama kementerian pada 2023 adalah untuk memperkasa pelajar dengan memberi lebih autonomi dalam kegiatan berpersatuan,” katanya.

Beliau seterusnya menjelaskan, kementerian dan universiti awam kini sedang dalam fasa akhir menyediakan beberapa garis panduan bersesuaian untuk memberi lebih kebebasan kepada pelajar dalam menguruskan aktiviti pelajar dan dalam menyertai kegiatan politik di dalam dan luar kampus.

“Sehingga kini, KPT masih mengadakan sesi libat urus dgn penasihat undang-undang universiti awam untuk melihat kebolehlaksanaan di universiti awam.

Show More

Related Articles

Back to top button