Berita Semasa

Maritim Malaysia rangkul pingat gangsa bagi Anugerah Integriti, Governans dan Anti Rasuah 2022

PUTRAJAYA – Usaha Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) memastikan seluruh warganya berintegriti membuahkan hasil apabila telah menerima pengiktirafan daripada Institut Integriti Malaysia (IIM).

Menurut Ketua Pengarahnya, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som, pasukan keselamatan itu berjaya merangkul pingat gangsa bagi Anugerah Integriti, Governans dan Anti Rasuah (AIGA) tahun 2022 baru-baru ini.

Beliau berkata, anugerah yang diterima ini bukti Maritim Malaysia komited dan sentiasa memandang serius mengenai isu integriti para pegawai dan anggota khususnya mereka yang berada di lapangan.

“Pengiktirafan yang diterima ini mencerminkan usaha yang dilaksanakan Maritim Malaysia dalam mendepani cabaran risiko ketirisan, isu-isu governans dan integriti sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu katanya, meskipun terdapat kes-kes terpencil yang telah mencalarkan nama baik agensi ini, ia tidak melemahkan Maritim Malaysia untuk sentiasa memastikan para pegawai dan anggota meletakkan integriti sebagai kepentingan utama ketika menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan.

Beliau menegaskan, pada tahun ini Maritim Malaysia akan melipatgandakan usaha bagi memastikan kadar isu integriti dan tatatertib dalam kalangan warga Maritim Malaysia diturunkan.

Untuk itu beliau memaklumkan Maritim Malaysia akan melaksanakan Pensijilan Anti Bribery Management System (ABMS) dalam memastikan semua warga agensi ini mematuhi dan melaksanakan kreteria integriti ketika melaksanakan tugas masing-masing.

Show More

Related Articles

Back to top button